TEKNIK PENCERITAAN KARYA SERAM

Projek Seram: Hostel

Terbitan: Buku Prima


Buku yang dipilih merupakan sebuah novel fiksyen Projek Seram: Hostel yang dikeluarkan oleh Buku Prima yang mana ianya mempunyai beberapa cerita serta kisah yang berlainan dalam satu buku. Saya akan mengulas buku ini yang mana ianya merupakan pendapat saya secara peribadi sahaja. Objektif saya kali ini adalah untuk melihat teknik penceritaan serta gaya penulisan yang digunakan oleh penulis.


Cerita pertama bertajuk ‘Hilang’, hasil karya Hasrudi Jawawi. Hilang adalah kisah tentang lima orang wanita iaitu Naurah, Puteri, Nora, Masni serta Musliha. Mereka ini telah bersahabat dalam jangka masa yang lama. Segalanya bermula apabila mereka dilanda malapetaka selepas mereka menginap di sebuah tempat penginapan yang tidak berpenghuni. Sejak dari itu, Naurah sudah merasakan ada sesuatu yang aneh telah berlaku. Ternyata tekaan dia mengena apabila malam menjelma, mereka berlima ini telah hilang seorang demi seorang. Hal tersebut telah menimbulkan tanda tanya kepada pembaca. Melalui pembacaan, dapat disimpulkan bahawa kisah ini berlaku pada masa kini yang mana suasana yang telah moden dan maju.


Dimana ia juga dapat diperhatikan melalui gaya bahasa serta perkataan yang digunakan oleh penulis semasa menggambarkan setiap kejadian yang berlaku. Gaya bahasa bermaksud cara atau ragam bahasa itu dipakai khususnya dalam tulisan atau karangan (Keris Mas, 1990: 13). Penulis menggambarkan karakter yang dicipta sebagai seorang yang moden berdasarkan penggunaan perkataan English yang digunakan dengan kerap. Contohnya seperti wefie, website, coverage dan banyak lagi. Penulis juga mencampurkan dua bahasa iaitu Melayu dan English di dalam penulisannya supaya cara penyampaiannya kelihatan lebih santai dan dekat dengan masyarakat kini. Percampuran antara dua bahasa ini telah disebut sebagai code mixing dan juga dikenali sebagai kerancuan bahasa. Hal ini merupakan hal yang sudah biasa berlaku pada masa kini terutamanya dalam penulisan karya-karya kreatif.


Menurut kamus dewan edisi keempat, kerancuan bahasa atau rancu bermaksud campur aduk yang terdapat dalam sesebuah bahasa itu. Selain itu, penulis juga kerap menggunakan kata perumpamaan dalam cerita ini. Contohnya seperti ‘sekujur tubuh berbungkus kain putih’. Ayat tersebut merujuk kepada susuk pocong yang dilihat oleh watak dalam cerita ini tetapi penulis tidak memberitahu pembaca secara langsung. Walaubagaimanapun, pembaca tahu apa yang dimaksudkan oleh penulis tersebut.


Cerita kedua bertajuk ‘10 Oktober’ karya Eqbal Mohaydeen. Secara ringkasnya, cerita ini mengisahkan sebuah hostel lama yang menyimpan banyak rahsia mengenai tarikh 10 Oktober yang dikatakan banyak nyawa akan terkorban sewaktu tarikh ini tiba. Pada bahagian prolog, penulis menggunakan kaedah flashback iaitu mengimbas semula kejadian yang berlaku lebih kurang 200 tahun yang lalu kerana pada jangka masa itulah semua tragedi itu bermula. Pembaca juga dapat melihat perubahan zaman yang berlaku di mana sewaktu kejadian flashback bahasa yang digunakan juga agak kaku dan lebih sopan berbanding bahasa yang digunakan selepas 200 tahun kemudian yang mana ianya lebih rileks dan santai. Cara penulisan dalam cerita ini sangat berbeza dengan cerita yang pertama kerana dalam cerita kedua ini penulisnya memasukkan elemen sastera seperti adanya puisi dan sajak. Bukan itu sahaja, penulisnya juga memasukkan beberapa potongan ayat Al-Quran yang menampakkan kelainan dalam penulisannya.


Cerita ketiga pula bertajuk ‘Petaka di Rawalingga’, karya Noor Fadzillah. Cerita kali ini pula mengisahkan tentang seorang wanita bernama Herlina yang telah mendapat kerja di Borneo Amazon Homestay. Herlina telah menghadapi gangguan hampir setiap malam sepanjang tempoh dia bekerja di tempat tersebut. Ternyata hal tersebut hanya berlaku kepada dirinya sahaja disebabkan oleh blok Rawalingga yang menyimpan banyak misteri. Apa yang berbeza dalam penulisan ini ialah penulis mencatat setiap kejadian dengan baik yang mana hari, masa dan tempat sesuatu perkara itu berlaku. Contohnya pada hari pertama Herlina berada di Homestay tersebut, penulis menggambarkan bahawa Herlina mencatat aktiviti hariannya seperti di dalam catatan hariannya. Sebagai pembaca, saya melihat ianya bukan sebuah tulisan atau karangan biasa, malah ianya boleh dilihat sebagai sebuah diari harian yang lebih kemas dan terperinci sama ada dari segi penyampaian dan gaya penceritaannya.


Cerita terakhir pula bertajuk ‘Syyy…’, hasil karya Illya Abdullah. Kisah terakhir ini tentang enam orang gadis yang menyertai satu penggambaran telemovie seram yang dikendalikan oleh seorang pemuda bernama Syah. Daliana, Rosmuna, Widelia, Amani, Faeza dan Cahaya telah berjaya untuk turut serta dalam penggambaran tersebut dan ditawarkan wang sebanyak RM50,000 sebagai bayaran. Walaubagaimanapun, sesi penggambaran tersebut dibuat di sebuah hostel lama yang tidak berpenghuni. Sejak dari itu kisah seram lima gadis itu pun bermula. Pada bahagian prolog, penulis seperti ingin menggunakan teknik flashback pada awal cerita yang mana berlaku sebuah pergaduhan di antara seorang lelaki dan dua orang wanita. Pergaduhan tersebut berakhir dengan tragedi pembunuhan. Selepas itu penulis terus masuk kepada babak di mana babak tersebut berlaku 15 tahun selepas kejadian pembunuhan itu berlaku. Dari segi bahasa yang digunakan masih sama seperti cerita sebelumnya yang mana masih juga menggunakan percampuran antara antara Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, namun ianya sudah tidak menjadi masalah dalam penulisan novel atau cerpen.


Kesimpulannya, saya dapat melihat perbezaan dalam keempat-empat cerita tersebut yang mana ianya dapat dilihat dengan jelas. Teknik penulisan setiap penulis adalah kreatif dari segi mereka mengolah idea tersebut. Walaubagaimanapun, ianya tidak menjadi masalah kepada pembaca untuk memahami setiap ayat yang disampaikan malah pembaca dapat melihat cara serta dapat disimpulkan bahawa setiap penulis itu mempunyai gaya penulisan yang berlainan.



Rujukan;

1.5 definisi istilah. (2012, May 28). Retrieved February 18, 2021, from https://fadzilzainol.wordpress.com/2012/04/05/1-5-definisi-istilah/


Carian Umum. (n.d.). Retrieved February 18, 2021, from https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=kerancuan&d=175768&


Mas, K. (1988). Perbincangan gaya bahasa sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia.



30 views0 comments