TEATER TIVI: Kritikan Kelalaian Masyarakat Dalam Arus Kemodenan.


Sumber foto: Ikhsan Yusof Bakar

Awal Disember lalu, TEATER TIVI telah dipentaskan di Panggung Sasaran Universiti Sains Malaysia (USM) dan diarahkan oleh Dr. Azrul Azizi Amirul. Ia merupakan adaptasi oleh Fatimah Manaf daripada Novel Tivi karya Sasterawan Negara Shahnon Ahmad yang diterbitkan pada tahun 1995. Ceritanya mengisahkan kehadiran ‘tetamu’ ke rumah Mat Isa yang telah menyebabkan kejutan budaya dalam keluarga mereka. Mat Isa tinggal bersama isterinya, Mak Jeha, anak lelaki, Hasan dan dua anak perempuan iaitu Chah dan Hasanah. Kedatangan ‘tetamu’ yang dibawa oleh Chah telah memporak-perandakan kehidupan Mat Isa sekeluarga dan penduduk kampung.


Kisahnya ini bermula daripada persahabatan antara Chah dengan Normah, apabila Chah mempercayakan Normah sebagai kawan baiknya yang menjadi penghantar surat kepada Zamri. Namun begitu, Normah sebenarnya turut menaruh perasaan terhadap Zamri dan sengaja berbaik-baik dengan Chah. Kemudian kita disajikan dengan kehidupan Mat Isa yang merupakan ketua keluarga yang sangat mementingkan agama. Hal ini dapat dilihat pada awal cerita, apabila Mat Isa dan keluarganya solat berjemaah bersama dan Mat Isa juga sangat menjaga hubungan dengan penduduk kampung. Contohnya, apabila tetamu datang ke rumah Mat Isa, tetamu tersebut akan dihidangkan makanan dan minuman.


Seterusnya satu hari, adik lelaki Chah bernama Hasan telah menerima surat daripada kakaknya yang mengatakan akan ada ‘tetamu’ yang bakal bertandang ke rumah mereka. Jeha, Isteri Mat Isa menjadi risau tak menentu kerana bimbang ‘tetamu’ itu akan merasa tidak selesa dengan rumah mereka yang serba kekurangan. Namun, sebaliknya Mat Isa mengalukan kedatangan ‘tetamu’ tersebut.


‘Tetamu’ yang dimaksudkan sebenarnya dalam cerita ini adalah merupakan sebuah alat televisyen atau lebih mudah orang kebanyakkan panggilnya Tivi. Siapa sangka Tivi itu mampu memanipulasi kehidupan harian keluarga Mat Isa sehinggakan ruang yang digunakan untuk solat berjemaah sebelum ini telah digunakan untuk menonton tivi sepanjang hari. Sedikit demi sedikit, Tivi ini telah menggugat keharmonian dan kerohanian sebuah institusi kekeluargaan. Hal ini dapat dilihat ketika keluarga Mat Isa yang asalnya sangat menjaga solat, sudah mula melengahkan solat dan sanggup meninggalkan solat Jumaat semata-mata untuk menonton Tivi!

Sumber foto: Ikhsan Yusof Bakar

Naskhah ini memberi tamparan kuat kepada golongan masyarakat yang terkena kejutan budaya hedonisme dan pengaruh negatif teknologi media masa. Mat Isa sebagai ketua keluarga terus menjadi lalai memimpin keluarganya mengikut acuan agama sehinggakan mereka sudah tidak lagi menegur Chah yang bergaul bebas dengan lelaki dan berpakaian kurang sopan lalu menjadi buah mulut orang di kampung. Namun, semua itu tidak dipedulikan lagi oleh Mat Isa dan Jeha kerana terlalu mengagungkan kesenangan yang dibawakan oleh Chah.


Keruntuhan moral semakin menular dalam keluarga Mat Isa ketika Chah membeli alat pita video dan memaparkannya di hadapan keluarga tanpa memikirkan akan kesan yang berlaku selepas itu. Didorong dengan hawa nafsu dek terpengaruh dengan cerita yang tidak bermoral, akhirnya Mat Isa dan Chah terlanjur berzina. Akibat kesal perbuatan hina itu, Chah melarikan diri dari rumah hingga membuatkan Jeha tertanya-tanya kemergian Chah yang secara tiba-tiba itu. Tetapi Mat Isa menjelaskan yang Chah pergi atas urusan kerja.


Namun, kejadian tidak bermoral itu tidak berhenti di situ sahaja. Setelah ketiadaan Chah dan atas kerakusan nafsu, Mat Isa telah mengambil kesempatan untuk memperkosa pula adik Chah, Hasanah ketika dia sedang mandi dan perbuatan terkutuk itu akhirnya dibalas dengan sambaran petir. Begitulah, bagaimana tivi telah memberi impak negatif kepada seluruh keluarga Mat Isa. Menonton pelbagai hiburan dan rancangan tivi telah menyebabkan mereka menjadi lalai sehingga melanggar peraturan dan hukum agama.


Sumber foto: Ikhsan Yusof Bakar

Pada akhir naskhah, pengarah memperlihatkan babak yang akan terjadi sekiranya ‘tetamu’ tivi itu tidak hadir ke dalam keluarga Mat Isa. Di antara babak itu menceritakan Zamri akan berkahwin dengan Chah dan bukannya dengan Normah. Hubungan keluarga Mat Isa dan orang kampung juga tidak akan renggang. Keseluruhan naskhah teater tivi ini, telah dijayakan dengan sangat baik oleh para pemeran dengan penghayatan dan pembinaan watak yang dipersembahkan serta dibantu oleh aspek teknikal yang dikendalikan dengan sangat baik, juga telah menaikkan lagi seri persembahan, termasuk susun atur set dan props di atas pentas.


Walau bagaimanapun, terdapat sedikit rasa kenikmatan yang kurang terhadap ketidakjelasan lontaran beberapa dialog untuk difahami pada babak tertentu oleh kerana mungkin kedudukkan pentas yang kelihatan sedikit jauh daripada penonton. Kekerapan pertukaran di antara babak juga sedikit mengganggu momentum perjalanan cerita, walaupun ianya tidak mengambil masa yang lama. Di atas kekerapan itu, kesinambungan cerita terlihat seperti terputus dengan babak yang lain dan menjadikannya kelihatan seperti esei yang penuh dengan mesej kritikan terhadap teknologi dan bukan lagi pada penceritaan.


Apa yang paling menarik tentang adaptasi naskhah karya Shahnon Ahmad ini adalah dari segi penggunaan bahasanya iaitu dialek negeri utara yang dituturkan dalam keseluruhan persembahan. Adalah jarang sekali kita dapat menonton persembahan dari negeri lain dengan penggunaan bahasa negerinya sendiri. Selalunya kita akan dipersembahan dengan bahasa melayu biasa atau pertuturan bahasa melayu yang kebandaran. Ini mungkin kegiatan persembahan teater terlalu tertumpu di pusat bandar hingga menjerumus kepupusan keindahan bahasa lalu hilang rasa – ‘Bahasa melambangkan bangsa’ seperti dibilang Sasterawan Negara kita, Prof. Muhammad Haji Salleh baru-baru ini dalam satu sesi simposium pasca 50 tahun selepas kongres kebudayaan kebangsaan 1971 di Universiti Malaya.


Teknologi media masa seperi tivi sememangnya memberi manfaat dalam kehidupan harian masyarakat kerana kita dapat mengetahui tentang infomasi dan isu semasa yang berlaku dalam negara atau luar negara tetapi adakah kita menggunakan teknologi yang kita ada harini ini dengan cara yang betul? Sehingga kita berkiblatkan pada kemodenan? Atau kita adalah masyarakat yang terus kelalaian dalam arus kemodenan.


Tahniah kepada seluruh tenaga produksi Teater Tivi!

Moga kita masih lagi boleh saling nasihat-menasihati dalam berhibur.

Tetaplah sokong teater tempatan!


Terbitan : Pusat Pengajian Seni USM & Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara

Arahan : Dr. Azrul Azizi Amirul

Penulis : Fatimah Manaf - Adaptasi Novel Shahnon Ahmad

Pelakon : Dr Andika Aziz Hussin, Yusof Bakar, Aira Natalia, Villmett Thanakody, Natasha Rafizi, Zamri Salleh, Sharifah Juairiah, Azrul Masjin, Norhelmi Othman, Veera Masura, Yusni Rizuwan, Afzan Zainal Abidin, Saidi Mat Nor, Ramnah Ramli, Fatin Fikriyah, Izatul Akmal.


Tarikh : 3, 4 & 5 Disember 2021

Tempat : Panggung Sasaran USM, Pulau Pinang


Kami berkesempatan menemu bual bersama En. Yusof Bakar, salah seorang pelakon dalam Teater Tivi.


RL: Boleh terangkan, bagaimana pengarah membantu pelakon ketika sesi latihan untuk teater Tivi ini?

YB: Saya percaya setiap pengarah mempunyai cara yang tersendiri. Kalau latihan kami, pengarah bagi kami bermain dulu sesama sendiri. Bagi masing-masing selesa dulu. Pengarah akan tengok dulu macam mana kami bermain. Bila dah sampai harinya nanti, pengarah akan mula lock komposisi mana yang dia mahu dan mana yang perlu kami buang.


RL: Faham. Menurut pandangan tuan, adakah pengalaman lebih penting berbanding mempelajari teater secara formal seperti menyambung belajar di dalam bidang teater itu sendiri?

YB: Saya tak kata pengalaman sahaja yang penting. Kita juga perlu belajar tentang teater supaya dapat menambah ilmu pengetahuan. Kedua-duanya penting. Bukan sahaja pengalaman perlu ada.


RL: Sebagai pelakon, apakah kepuasan tuan apabila dapat bermain di atas pentas semula berbanding lakonan secara atas talian?

YB: Kepuasan itu rasanya lain sebab kita dapat merasakan tenaga bila ada penonton. Kalau tiada ada penonton, kita rasa kurang energy. Tidak sama macam berlakon secara alam maya. Rasa dia lain.


RL: Terima kasih. Jumpa lagi!


Ditulis oleh:

Nurul Asyiqin Badrol Hisham

18 Disember 2021.


Bersama En. Yusof Bakar

Bersama Pengarah, Dr. Azrul Azizi Amirul


150 views0 comments