Sa-Balik Baju: Keberanian Suara Sa-Perempuan!

Arahan Oleh Junad Mat Nor, Sarah Lois & Afiza Asram

Penulis: Rafidah Abdullah, Sarah Lois & Afiza Asram

Durasi: 1 jam 47 minit

Tahun Terbit: 2021

Medium Saluran: Netfix


SaBalik Baju merupakan sebuah filem berdurasi 107 minit yang ditayangkan melalui platform Netflix pada tanggal 21 Oktober 2021. Filem tersebut telah diarahkan oleh Junad Md. Nor, Sarah Lois, Umie Omar, dan Afiza Asram. Barisan penulis juga semuanya adalah perempuan, juga melibatkan Junad Md Nor, Sarah Lois, Rafidah Abdullah, dan Afiza Asram. Sa Balik Baju menceritakan kisah enam orang wanita yang berdepan dengan cabaran dari pelbagai sudut seperti perhubungan, pekerjaan, media sosial dan masyarakat yang mempunyai kisah mereka yang tersendiri, dan ada kaitan antara satu sama lain.

SaBalik Baju juga merupakan filem yang mengangkat tema wanita sebagai topik utama, sebuah topik yang agak jarang diketengahkan dalam filem Melayu kebelakangan ini, atau jika benar ada filem lain yang melakukan perkara yang sama, ia tidak sampai atau tidaklah sepopular SaBalik Baju yang sedang menjadi bualan hangat. Populariti SaBalik Baju terbukti apabila mengungguli carta Netflix Malaysia, dan menduduki tangga ke-empat, bersama rancangan yang lain di carta tersebut kebanyakannya rancangan dari luar negara. Boleh dikatakan, SaBalik Baju tiba pada masa yang tepat. Kebelakangan ini, topik yang berkaitan perempuan menjadi tumpuan di laman media sosial yang menimbulkan perbincangan dan percanggahan di antara masyarakat.

SaBalik Baju boleh dikategorikan dalam bergenre komedi yang ringan walaupun ia membawa topik berat seperti perkahwinan bawah umur, penyalahgunaan internet, masalah hubungan perkahwinan, percintaan, gangguan seksual, dan pilih kasih antara jantina. Mungkin juga komedi itu disengajakan untuk mengelakkan filem itu kelihatan terlalu berat. Atau mungkin juga ada terdapat segelintir kaum Adam yang tidak faham akan intipati cerita tersebut dan tidak faham untuk mengaitkannya dengan kehidupan seharian mereka. Komedi tapi bagi saya lebih kepada dark comedy, yang bertujuan untuk mendidik. SaBalik Baju cuba memberikan perspektif apa itu salah faham tentang hal-hal perempuan selama ini dengan pendekatan yang bijak tetapi cukup halus untuk menegur.

Sumber foto: Netflix

Salah satu aspek menarik tentang SaBalik Baju ialah watak-watak perempuannya yang mempunyai julat umur dan gaya hidup yang berbeza-beza. Seorang perempuan yang sudah bekerja lama di syarikat percetakan, seorang perempuan yang bekerja sebagai pegawai eksekutif di sebuah syarikat korporat, seorang pelajar universiti, seorang selebriti media sosial terkenal yang sedang mengandung, seorang penasihat perhubungan popular yang mempunyai masalah rumahtangga, dan seorang perempuan biasa yang ingin melarikan diri ke kampung. Di lihat mereka semua berasal dari latar belakang dan status sosial yang berlainan menyebabkan watak mereka ini mempunyai personaliti dan pandangan yang tersendiri. Ini merupakan kelebihan untuk menunjukkan bahawa mereka semua menghadapi cabaran dalam kehidupan seharian mereka sebagai seorang perempuan.

Selain itu, salah satu mesej terbesar yang terlihat dalam SaBalik Baju ialah membiasakan semula perkara yang sebenarnya patut diterima sebagai sesuatu yang biasa. Contohnya, watak Dahlia merupakan usahawan yang menjual pakaian dalam bagi wanita. Pada awalnya, saya sendiri sebagai seorang perempuan, berasa kurang selesa dan segan setiap kali baju dalam wanita ditayangkan dengan begitu selamba di paparan skrin. Baju dalam wanita juga masih merupakan topik yang tabu untuk dibincangkan secara terbuka dalam masyarakat, mungkin kerana faktor agama dan budaya timur yang masih dipegang kuat masyarakat di Malaysia. Tetapi bila saya terfikir semula, baju dalam wanita ialah perkara yang normal bagi semua perempuan umumnya. Kerana ianya cuma pakaian yang dilapik dengan pakaian yang lain di luarnya. Tidak ada kurang dan lebihnya dengan hal pakaian dalam wanita. Kemudian, saya sedar betapa masyarakat sangat memandang pakaian dalam wanita sebagai sesuatu yang seksual semata-mata. Jadi, tiada sebab untuk kita tidak membicarakan perihal tersebut secara terbuka atas dasar didikan. Seharusnya, tidak ada masalah bagi seorang perempuan yang mahu membeli pakaian dalam, bukannya malu atau menunduk lagi ketika berjalan di hadapan kedai yang menjual pakaian dalam bagi wanita.

Selari dan juga ironi dengan tajuk ‘SaBalik Baju’, sesuatu hal di sebalik baju itu seharusnya disorok, atau menunjukkan rasa malu pada pandangan umum. Antara contoh lain dalam filem ini ialah ketika watak Aria yang berdepan dengan ayahnya yang memaksa dirinya untuk berkahwin dan Aria menentang sepenuh ayahnya dalam memamerkan sisi nilai seorang perempuan bukannya terletak pada sebuah perkahwinan atau kewajipan untuk mempunyai seorang suami.

Benar, SaBalik Baju boleh dikatakan punya sifat feminis. Namun begitu, pandangan masyarakat Malaysia terhadap fahaman feminis ini masih lagi di takuk lama kerana mungkin kurang pembacaan atau diskusi mengenainya. Lantas, mereka ini beranggapan feminis sebagai fahaman yang radikal dan ekstrim dan kebanyakannya pengaruh datang dari sebelah negara barat. Feminis percaya dalam kesaksamaan politik, ekonomi dan budaya wanita yang berakar umbi dari era terawal tamadun manusia. Ia biasanya dipisahkan kepada tiga gelombang: feminisme gelombang pertama, berurusan dengan hak harta dan hak untuk mengundi; feminisme gelombang kedua, memfokuskan pada kesaksamaan dan anti-diskriminasi, dan feminisme gelombang ketiga, yang bermula pada tahun 1990-an sebagai tindak balas terhadap keistimewaan daripada gerakan gelombang kedua sehinggalah kepada perarakan wanita dan pergerakan terkini #MeToo.

Sumber Foto: The Guardian

Namun begitu, apa yang diperjuangkan oleh feminis di barat tidak boleh disamakan seratus peratus dengan apa yang diperjuangkan oleh feminis di Malaysia. Ini kerana, Malaysia mempunyai budaya, adat, agama, dan pemikiran serta berpendapat yang berbeza-beza. Bak kata pepatah, rambut sama hitam, hati lain-lain. Dan itulah yang telah ditunjukkan menerusi SaBalik Baju.

Tetapi, keseluruhan SaBalik Baju juga

mungkin kelihatan seperti terlalu ingin memampatkan pelbagai kisah dan mesej di dalam satu jam 47 minit ini, membuatkan filem tersebut mungkin dirasakan agak berlebihan sedikit untuk memahami satu persatu maksud yang tersirat, apabila terdapat enam kisah utama yang cuba diketengahkan sekali gus, dan terdapat sebahagian kisah yang agak tenggelam daripada kisah lain yang terlihat lebih menonjol berbanding yang lain.

Kesimpulannya, SaBalik Baju ialah sebuah filem yang begitu menarik daripada sudut pandangan perempuan dan sarat dengan mesej yang boleh diamati untuk difahami. Perspektif memperkasakan wanita itu bukanlah sesuatu yang baru, tetapi sangat perlu untuk masyarakat kita. Seseorang perlu bersuara untuk menyampaikan mesej tersebut melalui medium apa sekalipun dan melalui filem, SaBalik Baju telah berani bersuara menampilkan perkara hal-hal tentang perempuan dengan visual untuk kesedaran umum serta mendidik masyarakat.

Majulah filem tempatan untuk negara!

Sekian, terima kasih.


Ditulis oleh Natasha Elena

Disember 05, 2021


139 views0 comments

Recent Posts

See All