REMINDING LAURA – Kompleksiti Emosi Dalam Alegi Cinta.

Ditulis oleh:

Fateen Zulaikha.

8 Januari 2022.


Pementasan teater Reminding Laura merupakan sebuah naskhah yang diarahkan dan ditulis oleh Aliff Adzham dan telah berlangsung di studio Asterik Anak Seni pada 16 hingga 19 Disember 2021 yang lalu. Melibatkan tiga orang pelakon; Kaiser Devasto, Fai, dan Api Husien dengan memegang watak Johan, Laura, dan Iskandar. Reminding Laura menceritakan sebuah kisah cinta, di mana watak Johan sebagai seorang psikiatri yang berusaha sedaya-upaya untuk membantu seorang perempuan bernama Laura, yang hilang ingatan akibat kemalangan jalan raya hingga membuatkan penonton kekal berteka-teki, adakah Laura akan ingat kembali semua ingatannya di akhir cerita?


Foto oleh Aiman Nazirmuddin

Keistimewaan pementasan Reminding Laura ini adalah pada elemen muziknya yang memainkan peranan penting bagi menzahirkan suasana rasa penceritaan yang diinginkan pengarah pada setiap babak dan membantu karya itu berkembang dengan lebih baik. Sehubungan itu, ceritanya telah diiringi alunan lagu ciptaan oleh Megat Fazly dan band Mafidz. Dengan iringan muzik tersebut telah menghidupkan lagi suasana keseluruhan pementasan teater dan membuatkan penonton lebih menjiwai kisah serta emosi yang dibawa oleh para pelakon. Ini terbukti bahawa iringan muzik yang kebanyakannya bersifat indie, akustik, dan syahdu menyerlahkan lagi ‘mood’ persembahan bagi menyokong elemen emosi yang dibawa sebagai tunjang utama. Antara lain yang menarik perhatian, adalah kekemasan pada set dan susun atur props yang bersesuaian dengan tema penceritaan. Dimana keseluruhan penceritaan hanya berlaku pada satu tempat sahaja, iaitu ruang pejabat bilik terapi milik Johan. Di situlah semuanya berlaku hingga ke akhirannya.


Sepanjang pementasan berlangsung, penonton dapat melihat bahawa para pelakon menggunakan pelbagai props untuk menonjolkan lagi karakter yang dibawa oleh mereka. Sebagai contoh, watak Laura dari awal cerita sudah menggunakan sebuah kamera polaroid untuk menunjukkan wataknya merupakan seseorang yang banyak mengambil gambar supaya dirinya tidak lupa. Selain kamera, Laura juga menggunakan props seperti diari yang merupakan petunjuk penting menghubungkan dia dengan watak Johan, dan juga sebuah buku ilustrasi yang menunjukkan lakaran-lakarannya bersesuaian dengan kariernya sebagai seorang pelukis ilustrasi buku kanak-kanak. Penggunaan props yang pelbagai ini telah mengembangkan lagi watak Laura dan membuatkan penonton boleh mengenali dengan lebih dekat watak itu sekaligus merasakan empati yang lebih dekat dengan hati penonton.


Foto oleh Aiman Nazirmuddin

Reminding Laura keseluruhannya merupakan sebuah kisah cinta yang mudah untuk difahami kerana ini jelas boleh dilihat pada kekuatan skripnya merupakan salah satu tumpuan paling penting yang dibawa dalam pementasan ini. Umumnya genre cinta mungkin dirasakan klise oleh sesetengah pihak, namun Reminding Laura bijak dalam menyusun dialog yang mampu meruntun emosi penonton yang hadir. Dari awal penceritaan sudah ditunjukkan bahawa Johan mahu ingatan Laura kembali pulih, terutama sekali tentang hal diri mereka yang sebenarnya adalah pasangan kekasih. Tetapi, pengarah memberi sentuhan sedikit berbeza dihidangkan di akhir pementasan, dimana ingatan memori tidak menjamin perasaan seseorang, hati manusia boleh berubah. Boleh dikatakan pengarah memilih sebuah pengakhiran yang bahagia buat semua watak-wataknya sendiri. Akan tetapi, pengakhiran tersebut juga membuatkan penonton merenung semula pahit manis yang ditinggalkan oleh pengisahan Reminding Laura. Sentuhan pengakhiran sebegini sangat jarang diambil pendekatan oleh kebanyakan pengarah lain tapi tidak untuk Aliff Adzham yang dilihat sangat jelas maksud dan makna yang diinginkannya.


Lakonan watak Johan sebagai seorang pakar terapi, psikiatri yang membantu Laura dalam merawat amnesianya, sangat berkesan dan berjaya dibawakan dengan sangat baik. Bukan itu sahaja, malah watak Iskandar juga tidak kurang hebatnya dengan mempunyai personaliti gemar berjenaka sedikit sebanyak dapat mengurangkan ketegangan dan meringankan sedikit plot penceritaan Reminding Laura yang semakin berat pada pertengahan ceritanya.


Foto oleh Aiman Nazirmuddin

Walau bagaimanapun, terdapat sedikit kepincangan pada keserasian emosi perwatakan di antara Johan dan Laura yang menjadi tulang belakang pementasan. Ini kerana mungkin ketiadaan babak yang menunjukkan bahawa mereka pernah menjadi pasangan bercinta sebelum Laura hilang ingatan di atas pentas walaupun hanya sekejap. Oleh kerana hasil itu, kita cuma dapat lihat hanya watak Johan saja yang masih mencintai Laura. Keserasian itu sepatutnya perlu ada, penonton juga seharusnya dapat merasakan bahawa watak Johan benar-benar mahu ingatan Laura kembali semula dan kerana itu, kita telah disajikan babak Johan dan Laura menari bersama, namun kita diperlihatkan perasaan cinta atau rindu yang ditampilkan dirasakan sangat sedikit atau terlalu kelihatan dipaksa. Pelakon perlu membuat penonton percaya, agar penonton turut merasa sedih atau simpati terhadap kasih yang tidak terbalas di antara Johan dan Laura.


Sungguhpun begitu, keseluruhan pementasan Reminding Laura boleh disimpulkan sebagai sebuah karya yang banyak bermain dengan emosi dalaman dan luaran seseorang manusia dalam perspektif percintaan, kasih dan sayang. Ianya sangat mencabar bagi menzahirkan elemen emosi di atas pentas kerana mengolah sebuah kisah cinta yang sering kali dianggap terlalu banyak di pasaran bukanlah satu perkara yang mudah. Tetapi untuk sekian kali ini, Reminding Laura kembali mengingatkan kita semula tentang perasaan yang mungkin kita juga semakin lupa. Apalah erti menjadi manusia, tanpa sedikit rasa cinta, bukan?


Tahniah kepada seluruh tenaga produksi Asterik Anak Seni yang terlibat bagi menjayakan pementasan teater Reminding Laura! Moga kita senantiasa boleh merasakan cinta, kasih dan sayang! Tetaplah sokong teater tempatan!

Terbitan : Asterik Anak Seni

Pengarah & Penulis : Aliff Adzham

Pelakon : Kaiser Devasto, Fai & Api Husien

Tarikh : 16 - 19 Disember 2021

Tempat : Asterik Anak Seni Studio, Petaling Jaya



Kami berkesempatan menemu bual bersama Kaiser Devasto sebagai Johan dalam Teater Reminding Laura.

RL: Pertama sekali, tahniah diucapkan kerana berjaya menamatkan pementasan pertama untuk Reminding Laura. Apakah perasaan sebagai seorang pelakon ketika sudah berjaya menamatkan pementasan pertama, kerana pementasan pertama selalunya lebih gemuruh dari biasa?

Kaiser: Betul. Pertama sekali sebagai seorang pelakon, saya berasa puas kerana berjaya menyampaikan energy kepada audiens. Saya mahu kekalkan energy yang sama, kerana masih berbaki 4 slot pementasan. Tapi, kami sebagai pelakon ingin menyampaikan energy yang lebih baik di setiap pementasan sehingga ke pementasan yang terakhir.


RL: Bagaimanakah bermulanya proses untuk pementasan teater ‘Reminding Laura’? Contohnya dari pemilihan pelakon, bacaan skrip, sehinggalah pementasan.

Kaiser: Pada mulanya, Asterik Anak Seni memuat naik tentang ujibakat pelakon di media sosial. Saya pun macam, “Eh, why not?” sebab sudah 2 tahun kita dilanda pandemik, 2 tahun tidak terlibat dengan teater. Saya sekadar mencuba nasib, dan Alhamdulillah saya diberi tanggungjawab untuk membawa watak Johan. Johan merupakan satu watak yang sangat mencabar untuk dilakonkan. Bukan sahaja sebagai seorang psikiatri tetapi kepada pementasan secara keseluruhan. Ya, benar, Reminding Laura menceritakan tentang Laura tetapi pemberatnya terletak di antara kisah Johan dan Laura itu sendiri, hubungan mereka. Johan perlu ‘hidup’ untuk menggerakkan cerita. Agak mencabar, tapi itu satu perkara yang baik. Yalah, bila kita [pelakon] menyertai pementasan teater, kita nak buat sesuatu yang kita tak pernah buat supaya kita dapat meningkatkan diri kita. Kita akan belajar benda baru setiap hari.

Penulis bersama pelakon Kaiser Devasto sebagai Johan

RL: Boleh ceritakan proses latihan dengan pengarah untuk membawa watak Johan?

Kaiser: Untuk pengarah, sebenarnya saya sudah biasa bekerja dengan Aliff (pengarah), jadi saya sudah tahu gaya dia macam mana. Perkara pertama sebelum kami (pelakon) datang latihan, kami perlu hafal skrip dululah. Satu perkara tentang Aliff ialah, dia mengutamakan ‘rasa’. Macam mana kita nak buat audiens rasa emosi sebegitu atau niat di sebalik lakonan? Itu antara perkara yang saya sangat berterima kasih dekat Aliff, saya banyak belajar daripada dia. Macam mana saya memastikan yang saya sampaikan perasaan-perasaan yang saya nak audiens rasa? Sebab persembahan bukan untuk pelakon, tapi untuk audiens. Kita nak bagi audiens rasa. Kalau audiens tak rasa, tak jadilah teater, kan?


RL: Bagaimanakah kerjasama dengan rakan pelakon lain untuk menjayakan teater ini?

Kaiser: Ini sangat menarik, sebab untuk setiap pelakon, ini memang kali pertama kali kenal. Memang kami tak kenal langsung satu sama lain sebelum ini. Kami pergi ke sesi terbuka pemilihan pelakon, jadi ketika latihan pertamalah kami baru berkenalan. Bagi saya, itu satu perkara yang baik sebab kita boleh kenal orang baru dan belajar tentang cara lakonan mereka, sebab kami berlatih sama-sama setiap hari. Bukan setakat dalam latihan atau atas pentas sahaja, tapi satu perkara yang kami berlatih ketika di luar pentas ialah kami sentiasa bersembang untuk lebih kenal dan rapat antara satu sama lain. Cara begitu memang membantu kami di atas pentas.


RL: Watak Johan merupakan seorang psikiatris. Kaiser sebagai seorang pelakon, adakah mempunyai persediaan spesifik yang dilakukan untuk membawa watak Johan?

Kaiser: Persediaan yang saya lakukan secara peribadi sebagai seorang pelakon untuk membawa watak Johan ialah, apakah perkataan yang digunakan oleh Johan? Contoh macam amnesia, post-traumatic amnesia… Supaya saya betul-betul faham watak Johan. Sebab skripnya panjang, untuk saya hafal satu-satu, akan terlalu kelihatan kaku. Jadi, saya tidak mahu nampak macam hanya membaca skrip bulat-bulat, saya kena faham apa maksudnya, apakah sebenarnya amnesia, supaya kita boleh bercerita. Sebab teater adalah storytelling. Persediaan itu yang penting. Bagi saya, walaupun dia [Johan] seorang psikiatri, tapi watak itu sendiri bukanlah mahu menunjukkan sisi dia sebagai seorang psikiatri sangat. Tapi, lebih kepada mahu menunjukkan bahawa dia seseorang yang sangat mencintai Laura. Dalam masa yang, sama, dia akan terselit sikit seperti Johan tertangkap kerana dia masih tidak mampu membuang perasaan cintanya terhadap Laura. Ya, saya [membawa watak Johan] memang psikiatri, tetapi sebenarnya saya juga membawa diri saya sebagai seorang pencinta kepada Laura. Psikiatri itu ibarat sampingan, tetapi pencinta itulah fokus utamanya.


RL: Adakah wujudnya percanggahan di antara watak Johan sebagai seorang psikiatri dan dia sebagai seseorang yang mencintai Laura?

Kaiser: Ya, memang betul. Tujuan utama Johan nak pulihkan Laura ialah dia [Johan] nak Laura ingat dia balik, ingat semula cinta mereka. Tetapi, konfliknya bila Laura tak ingat, dan Johan mahu berhenti membaiki hubungan mereka. Johan sedaya-upaya mahu Laura ingat semula, tapi tak boleh. Perasaan itu, yalah bila dia [Johan] lihat orang yang dia sayang depan mata bersama orang lain, perasaan [Laura] tak boleh dipaksa. Wujudnya saat-saat di mana, ‘Kenapa kau tak ingat aku?’. Johan mencuba yang terbaik untuk membantu Laura sebagai pesakitnya. Percanggahan itu akan ada, tetapi kita hanya manusia biasa. Sebagai seorang doktor professional pun, akan ada masa kita tergelincir, sebab kita mempunyai perasaan.


RL: Secara peribadi, bolehkah Kaiser memilih satu sahaja babak atau dialog yang sangat signifikan buat watak Johan sepanjang pementasan teater ‘Reminding Laura?’

Kaiser: Kalau babak yang paling signifikan ialah, bagi saya ialah babak lapan, babak terakhir. Saya tak pasti apa yang audiens rasa ketika menonton babak tersebut, apa yang saya [ketika membawa watak Johan] rasa ialah ya, dia [Johan] sedih, tapi bukan nak tunjuk dia sedih sebenarnya. Dia cuba sehabis mungkin untuk pulihkan Laura, dan inilah yang dia hadapi selama ini. Tapi, macam yang saya cakap tadi, kita manusia biasa. Macam mana kita cuba nak kawal pun, akan wujud kesedihan itu kerana adanya cinta. Ketika itu, Johan belum betul-betul rasa sedih, sehinggalah Laura cakap yang rasa cinta itu dah tak ada. Jadi, Johan berundur dan realiti itu barulah buat Johan tersedar. Bukan salah Laura, bukan salah Iskandar, tapi nak buat macam mana? Dah namanya pun perasaan, kita tak boleh ubah, tak boleh nak paksa. Saya rasa itulah babak yang paling saya suka, babak lapan.


RL: Sebagai seorang pelakon, apakah kepuasan yang Kaiser dapat ketika membawa watak Johan?

Kaiser: Saat yang saya paling puas sebagai pelakon, bukan sahaja untuk teater Reminding Laura tetapi juga teater yang saya pernah berlakon ialah, bila saya ada di atas pentas dan saya terasa spotlight terkena muka. Perasaan itu tidak boleh digambarkan. Bila lampu dah fokus dekat kita, saya tahu ada audiens, tapi saya rasa macam itulah saat saya. Untuk satu jam 30 minit, inilah hidup saya. Walaupun ada orang tengok, inilah hidup saya, saya Johan.


RL: Apakah perancangan untuk berlakon di masa akan datang?

Kaiser: Buat masa sekarang, masih tak ada apa-apa perancangan lagi untuk berlakon. Bagi saya, saya fokus dekat Reminding Laura terlebih dulu, bila saya dah betul-betul habis apa yang saya tengah buat sekarang, barulah saya merancang untuk seterusnya. Sesetengah pelakon akan terus sahaja ke projek lakonan yang seterusnya. Untuk saya, saya mahu buat yang terbaik. Sekarang, tanggungjawab saya ialah untuk Reminding Laura. Lepas dah habis, baru saya akan fikir untuk ujibakat ke, kita takkan tahu. Kalau ada, baguslah, kalau tak ada, tak apa.


RL: Terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk ditemubual!

Kaiser Devasto: Sama-sama! Terima kasih juga sebab datang.


Termubual bersama pengarah dan penulis skrip, Aliff Adzham.


RL: Tahniah diucapkan untuk tayangan pertama Reminding Laura. Apakah perasaan Aliff sebagai seorang pengarah dan penulis?

Aliff Adzham: Untuk first show, Aliff rasa lega. Sebagai seorang penulis skrip untuk first show malam ini, saya rasa lega sebab apa yang kami semua lalui selama ini, raptai, full dress, selama ini ada bahagian selama ini yang saya nak tapi tak dapat, tapi malam ini saya dapat. Saya legalah dekat situ. Dari segi kepuasan, saya masih belum dapat lagi, ada banyak lagi yang perlu dipertingkatkan. Lebih kepada persembahanlah, dari segi teknikal semuanya okay. Pelakon pandai tangani situasi yang tak dirancang seperti buku terjatuh, jadi sebab itulah saya lega. Saya takut kalau benda itu mengganggu, energy mereka menurun, tapi okay sahaja. Saya lega.


RL: Boleh ceritakan sejak bila bermula pembikinan untuk teater Reminding Laura dan proses secara keseluruhan?

Aliff Adzham: Kami bermula pertengahan bulan November. Kalau betul-betul latihan intensif, bermula pada 1 haribulan Disember, sampailah sekarang [16 Disember]. Jadi, sebenarnya… Dalam dua minggu? Proses keseluruhan mengambil masa sebulan. Sebenarnya, kami banyak kekangan masa. Kami mahu buat lebih awal, tapi dah benda jadi, kami kena kejar masa.


Penulis bersama Pengarah & Penulis Teater Reminding Laura - Aliff Adzham

RL: Bagaimanakah tercetus idea untuk menulis skrip bagi Reminding Laura?

Aliff Adzham: Saya ada sertai kelas penulisan skrip yang dijalankan oleh Revolution Stage ketika tahun 2019. Saya kena buat skrip… Jadi, saya fikir kalau orang ramai kenal Aliff yang mempunyai latarbelakang teater dan menulis skrip sebelum ini, kebanyakan saya tulis pasal kisah cintalah. Saya nak buat kisah cinta, tapi yang ada kelainan sikit, bukan kisah cinta yang biasalah. Tidaklah terletak sangat kepada plot twist, tapi lebih kepada penerimaan terhadap cinta itu sendiri. Apa cinta itu kepada orang lain? Apa situasi yang wujud bila bercakap pasal unconditional love? Saya juga ada terinspirasi dari filem Memento dan Ghajini. Saya rasa idea itu agak menarik. Ini bukanlah kali pertama orang buat cerita cinta berkaitan hilang ingatan, jadi saya nak meneroka tentang topik sebegitu, lebih kepada secara saintifik. Sebenarnya, saya takut juga nak menyentuh hal berkaitan saintifik, sebab saya tak ada ilmu berkaitan amnesia secara saintifik. Saya cuma banyak buat kajianlah. Tapi, masih berbalik juga kepada topik unconditional love dan harapan. Dan, terjadilah Reminding Laura.


RL: Bagaimanakah kerjasama dengan kru dan para pelakon untuk menjayakan pementasan teater Reminding Laura?

Aliff Adzham: Proses bersama kru sangat mudah, sebab saya sudah bersama mereka lebih dari 5 tahun, sejak zaman universiti lagi. Saya cuma berkenalan dengan kru barulah seperti penolong pengurus pentas. Cabarannya ialah dengan pelakon. Ketiga-tiga pelakon tidak pernah berjumpa di luar, memang kali pertama jumpa ialah ketika bacaan skrip. Masa yang diambil untuk menjayakan pementasan teater ini pula hanya sebulan. Jadi, untuk mereka [para pelakon] wujudkan chemistry antara satu sama lain, memang memerlukan usaha yang lebih. Saya sebagai pengarah, saya ialah seorang pengarah yang lebih kepada teknikal. Kalau pelakon tak dapat untuk sampaikan sesuatu, saya akan buat juga bagi jadi. Tapi kali ini saya nak guna pendekatan yang berbeza. Dari banyak tertumpu kepada teknikal, saya nak pelakon lebih meneroka terhadap emosi dan penyampaian dialog. Bagi saya, itu bukan satu kerja yang mudah. Saya masih rasa banyak benda yang saya perlu belajar, contohnya dari segi komunikasi. Macam mana saya nak sampaikan apa yang saya nak kepada pelakon supaya pelakon faham? Benda sebegitu tak boleh dipaksa, kita [sebagai pengarah] kena faham dulu para pelakon. Kalau nak faham pelakon, kenalah faham diri mereka [pelakon] sebagai seorang manusia. Secara keseluruhannya, saya rasa ada banyak peningkatan. Terdapat banyak penambahbaikan, perkara baru, penerokaan sepanjang proses [teater berlangsung]. It’s a good process for me.


RL: Adakah Aliff sebagai pengarah meletakkan kriteria tertentu untuk pelakon yang akan membawa watak dalam Reminding Laura?

Aliff Adzham: Memang bila saya buat skrip dan mengarah, saya dah ada kriteria tertentu. Cuma, nak dapatkan seratus peratus kriteria yang saya mahu, memang susah. Melainkan saya sendiri berlakon jadi Johan. Cabaran juga bagi saya untuk mencari pelakon yang tepat. Apa yang saya dapat sekarang ini, hampir tepatlah bagi saya. Kriteria untuk watak Johan, dia [pelakon untuk watak Johan] kena banyak bermain dengan emosi, banyak memendam rasa yang tak dapat untuk diluahkan. Emosi itu ada banyak lapisan, dan memang banyak kena teroka [tentang emosi], bukan senanglah. Bagi watak Laura, memang dia seorang yang lady look. Jenis yang tetap dengan pendirian dan keputusannya. Untuk watak Iskandar pula, [Iskandar] ialah seseorang yang unik. Luaran dia bila orang tengok, bukan pelik, tapi orang akan tengok dia sebagai seseorang yang unik. Kriteria yang saya mahu buat ketiga-tiga pelakon, sudah semestinya bukan seratus peratus saya dapat, dalam 70 hingga 80 peratus? Saya tidaklah terlalu mencuba untuk mendapatkan kriteria yang saya mahukan sepenuhnya, saya bekerja dan mengembangkan lagi apa yang sedia ada dalam diri mereka [pelakon].


RL: Seperti yang dikatakan Aliff sebelum ini, Aliff banyak mengarahkan dan menulis skrip berkaitan kisah cinta. Kenapa memilih untuk mengarahkan dan menulis teater bergenre sebegitu, termasuk untuk Reminding Laura?

Aliff Adzham: Saya ada bercakap dari pengalaman sendiri. Saya juga seseorang yang hati lembut, dan untuk teater, saya suka cerita yang berunsur realisme. Saya rasa saya lebih senang mengekspresikan diri sendiri dan apa yang saya rasa melalui skrip yang berkaitan kisah cinta. Tapi, sudah tentu tak semua orang suka kisah cinta. Mungkin ada yang rasa macam cringe, ataupun tak gemar dengan genre sebegitu. Tapi saya cuba buat untuk Reminding Laura supaya penonton tak rasa cringe, dan suka dengan kisah cinta.


RL: Apakah cabaran atau pengalaman baru sepanjang proses pembikinan Reminding Laura yang Aliff dapat?

Aliff Adzham: Teater Reminding Laura pernah dipersembahkan sebelum ini ketika tahun 2019. Pengalaman baru ialah macam mana saya nak olah skrip ini untuk membawa kelainan dari sebelum ini. Saya rasa saya tak dapat nak banyak ubah sebab satu, kekangan masa. Dari segi pengarahan, saya cuba pendekatan yang lain dari sebelum ini. Cabarannya pula ialah saya cuba untuk tidak terlalu terikat dengan skrip. Saya nak teroka banyak benda lagi, tapi agak susah kerana faktor masa dan kebolehan semasa pelakon.


RL: Terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk temubual bersama kami!

Aliff Adzham: Terima kasih juga daripada kami Asterik Anak Seni kerana menyokong Reminding Laura. Saya harap ada sesuatu yang anda bawa pulang bersama, dan semoga anda menikmati kisah cinta yang dipersembahkan.


#COPYRIGHT RUMAHLAKON 2022.



72 views0 comments