PELAMIN ANGANKU MUS..TAHIL: Soal Kebebasan Tapi Ia Bukan Pilihan.

Teater Monolog Berantai - Volume 6

Arahan: Khairunazwan Rodzy

Penulis: Faiq Irfan

Pelakon: Syah Fisal, Cahaya Jais,

Qristina Arif, Aida Amron & Marzuki Noh

Tarikh Pementasan: 17–21 November 2021

Tempat: Projek Bilik Sempit, RS.

Terbitan: Revolution Stage


Pelamin Anganku Mus..tahil merupakan sebuah pementasan teater monolog berantai yang menengahkan isu kehidupan dari segi perspektif seorang dewasa dan impak-impak keputusan yang kita buat pada diri sendiri serta orang sekeliling kita. Teater monolog ini merupakan hasil karya penulis Faiq Irfan dan dibawah arahan Khairunazwan Rodzy. Terdapat lima orang pelakon yang membawa watak-watak dalam pementasan ini. Antara barisan pelakon yang terlibat adalah Cahaya Jais memeran watak Ana, Syah Fisal memeran watak Zain, Marzuki Noh pula memeran watak Azman, manakala Qristina Arif memeran watak Natasha dan akhir sekali Aida Amron memeran watak Liza.


Ceritanya mengisahkan seorang pengantin perempuan bernama Ana yang enggan keluar dari bilik rumah pada hari majlis pernikahan bersama bakal suaminya, Zain. Keengganan dirinya untuk keluar dari bilik membuatkan majlis pernikahannya itu menjadi kelam kabut. Kisah bermula melalui perkenalan watak pertama Adik Ana, Liza. Dia bertungkus lumus membantu Ana seharian tapi semasa dia sibuk menguruskan majlis, Liza terserempak dengan bekas kekasih Ana, Azman yang merupakan jurugambar untuk majlis pernikahan itu juga. Oleh kerana salah faham Liza atas keadiran Azman di majlis itu, menjadi punca Ana berkurung di dalam bilik, kononnya Ana mungkin masih menaruh perasaan terhadap Azman. Lalu Zain yang panas baran meluru ke arah Azman dan menumbuknya. Pada masa yang sama, di dalam bilik, Ana yang siap berpakaian pengantin hanya termenung mengenangkan nasib dirinya di hadapan cermin walaupun berkali-kali di pujuk oleh adiknya Liza dan kawan baiknya Natasha untuk keluar dari bilik.


Kemudian kita diperkenalkan dengan watak kawan baik Ana, Natasha. Mereka berdua telah berkenalan sejak dari zaman sekolah menengah. Natasha cuba memujuk Ana untuk beranikan dirinya keluar dari bilik semasa hari pernikahannya itu. Dia cuba pujuk Ana bahawa keputusan untuk berkahwin dengan Zain tidak menjadi masalah bagi dirinya. Lalu Natasha mula bercerita tentang dia mula-mula berkenalan dengan Ana sehingga hubungan akrab mereka di universiti.


Penceritaan seterusnya disusuli dengan watak Zain, pengantin lelaki, kemudian watak Azman, jurugambar dan juga bekas teman lelaki Ana dan akhir sekali, kita dikenalkan dengan watak utama dalam cerita Pelamin Anganku Mus..tahil ini iaitu Ana, di mana pada penghujung cerita, Ana akhirnya keluar dari bilik lalu meluru kepada Natasha sambil memegang tangannya dan mengumumkan sesuatu kepada tetamu-tetamu yang hadir dengan berita yang mengejutkan bagi semua orang. Dan setelah itu, Ana keluar dari rumah meninggalkan semua orang terpaku dengan kejadian tersebut.


Majoriti penonton yang datang, ternyata rasa terhibur dengan pementasan ini. Bukan sahaja sebab jalan cerita yang menarik, malah terdapat elemen tarian dan joget yang dikoreografikan secara baik dan kemas diselitkan dalam pementasan ini juga sangat menarik perhatian serta menghiburkan penonton. Aspek lakonan pelakon juga secara individu amat memuaskan walaupun setiap watak itu mempunyai cabarannya tersendiri untuk dibawa di ruang pentas. Namun mereka berjaya menyampaikan lakonan mereka dengan sebaik mungkin kepada penonton yang hadir.


Walau bagaimanapun, terdapat sedikit babak-babak yang boleh diperbaiki. Antaranya babak monolog Natasha, watak itu mungkin terlalu banyak bercerita tentang latar belakang kisah perkenalan dia dengan Ana, yang mungkin boleh ditunjuk secara tidak langsung. Apa yang saya rasa tidak lengkap pula di antara pelakon adalah chemistry antara watak Ana dengan Natasha. Ini bukanlah masalah yang disebabkan oleh pelakon kerana mereka telah membawa watak dengan bagus. Tetapi mungkin disebabkan skrip kerana cerita tentang Ana dengan Natasha yang pernah bercinta secara rahsia terasa seperti tidak lengkap. Skrip terlalu fokus dalam memberi petunjuk secara nyata tentang kisah mereka berdua. Namun penonton semestinya ingin tahu secara lanjut bagaimana persahabatan mereka boleh bermekar menjadi percintaan dan sayang.


Secara keseluruhannya, jalan cerita teater Pelamin Anganku Mus..tahil ini menekankan pada konflik yang dihadapi oleh individu sama ada untuk mengikuti norma masyarakat atau mengikut keputusan keluarga atau juga mengutamakan kebebasan dan kegembiraan diri sendiri. Perkara ini sering kali berlaku dalam dunia yang nyata, kadang kala kita terasa seperti tiada pilihan. Bebas atau tidak, ianya bukan pilihan.


Saya merasakan bahawa mesej yang terkandung dalam cerita ini amat berguna terutamanya bagi golongan muda yang memulakan kehidupan sebagai orang dewasa. Para penonton mungkin sokong watak Ana, ada yang sokong watak Zain dan ada yang sokong watak Natasha. Tapi sebenarnya, setiap orang mempunyai perspektif mereka sendiri. Setiap orang ada cerita tersendiri yang orang lain tidak mengetahuinya. Oleh itu, kita tidak boleh sewenang-wenangnya membuat tanggapan sendiri tentang hidup orang lain. Kita seharusnya mencintai diri sendiri terlebih dahulu daripada memuaskan hati orang lain, jika tidak, kita bukan hanya menganiaya diri tetapi juga boleh memberi kesan aniaya pada orang lain.


Usai pementasan, kami sempat menemu bual dengan Cahaya Jais yang memeran watak Ana, dan Syah Fisal memeran watak Zain bagi mendapatkan pandangan tentang kerja kreatif mereka sepanjang pementasan Pelamin Anganku Mus..tahil. Ingin tahu bagaimana pengalaman mereka membawa watak masing-masing? Berikut adalah temu bual kami bersama mereka!


Temu bual bersama Syah Fisal (SF)

RL: Malam ini merupakan persembahan teakhir bagi pementasan teater Pelamin Anganku Mus..tahil, apa perasaan Syah?

SF: Saya rasa segala usaha saya dalam membawa watak Zain agak berbaloi. Sebelum kami memulakan pementasan ini, saya banyak masuk kelas lakonan untuk memperbaiki lakonan saya. Saya orang baru dalam scene teater, ini kali kedua saya berlakon. Pembawaan watak Zain dalam teater ini bagi saya merupakan pengalaman baru sebagai seorang pelakon.


RL: Bagaimana proses latihan bagi Syah dalam membawa watak Zain?

SF: Proses latihan untuk pementasan teater ini bagi saya agak intensif. Untuk pementasan ini, setiap pelakon ada sesi training secara berasingan supaya ada peluang untuk mendalami watak masing-masing. Ada juga sesi di mana pelakon-pelakon akan berdebat bersama-sama tentang watak-watak yang kami bawa, Ini membenarkan kami bertukar pandangan dan memahami juga perspektif watak-watak yang lain. Yang penting, saya rasa selesa dan enjoy apa saya buat serta proses untuk bina watak Zain ni. Selain itu, saya banyak juga buat trial and error dalam cubaan untuk memasuki dunia Zain.


RL: Ada tak guna teknik atau metod-metod untuk berlakon watak Zain?

SF: Dalam usaha saya untuk membawa watak Zain, saya banyak ambil inisiatif untuk minta pendapat dan bantuan dari pelakon-pelakon yang berpengalaman dalam Revolution Stage. Jadi saya cuba menekankan permainan mata, penggerakan badan, buat kajian mengenai watak. Saya juga banyak bekerjasama dengan pengarah juga dalam lakonan saya. Pengarah kami seorang yang mempunyai idea yang tetap dan dia amat detail dalam pengarahannya. Jika dia hendak kami berlakon sebegitu, kita akan ikut. Yang bagus tentang pengarah kami, dia sentiasa bagi penerangan disebalik pengarahannya jadi saya lebih memahami kehendak dia mengenai perwatakan Zain.


RL: Apa reaksi Syah bila mula-mula membaca skrip?

SF: Mula-mula saya rasa agak tercabar, itu antara reaksi pertama saya bila mendapat watak Zain. Perwatakan Zain yang macho dan angkuh itu amat berbeza dengan perwatakan saya sendiri. Kalau saya bercakap dengan orang saya biasanya guna “aku, kau”, tapi cara Zain melontar dialog memang lain. Watak ini bukan senang bagi saya untuk bawa, jadi selain daripada kajian saya sendiri, saya banyak dapat bimbingan dari pengarah. Dia selalu nasihat saya dengan para pelakon, jangan buat skrip itu sesuai dengan kita, kita yang kena sesuaikan diri dengan skrip itu.


RL: Sebagai pelakon, apa perasaan Syah bila berlakon atas pentas?

SF: Bagi saya, bila saya naik pentas, saya cuma enjoy the moment. Bila berlakon sebagai Zain, saya akan cuba buat yang terbaik supaya penonton yang membeli tiket itu berbaloi nilainya untuk mereka. Apabila saya berada atas pentas, saya ingatkan diri saya, “Okay, sekarang aku ni Zain”. Jadi saya memang mendalami watak Zain sepenuhnya atas pentas. Bila saya berlakon sebagai Zain, saya banyak buat gaya macho, lepas itu saya banyak menari dan berjoget. Perkara-perkara itu memang luar daripada comfort zone saya sendiri. Jadi, berlakon atas pentas ini sebahagian daripada proses pembelajaran bagi saya.


RL: Tahniah Syah dan semoga berjaya untuk projek seterusnya!

SF: Terima kasih atas sokongan!


Temu bual bersama Cahaya Jais (CJ)

RL: Malam ini adalah final show untuk teater Pelamin Anganku Mus..tahil! Apa perasaan Cahaya selama ini bila membawa watak Ana?

CJ: Setelah saya melalui proses latihan dan juga proses mendalami watak Ana, saya rasa seperti saya betul-betul pendam watak Ana ni. Saya rasa, saya boleh betul-betul faham perasaan Ana dalam teater ni. Bila hari kita sebenarnya kahwin dah tiba, tapi kita rasa tak bersedia lagi. Dan ada peristiwa lain yang datang yang menyebabkan huru-hara. Dalam sudut hati ada keinginan yang rasa seperti tidak mungkin terjadi, tapi nak juga apa yang diinginkan walaupun tidak normal dalam masyarakat sekeliling. Lepas mendalami watak Ana, baru saya faham jelas dengan apa yang watak Ana rasa dalam situasi yang dia lalui.


RL: Bagaimana proses latihan dilakukan? Sama ada dengan pengarah atau penyediaan sendiri?

CJ: Saya ada membuat kajian atau rujukan untuk watak Ana, tapi saya tak ambil watak secara langsung daripada watak cerita lain atau individu yang sebenar. Antara rujukan dan inspirasi yang saya ambil adalah temu bual Maya Karin dengan DJ Naz dekat laman web Youtube. Jadi, bila saya melalui proses pembinaan watak Ana, saya ambil separuh dari temu bual Maya Karin, separuh usaha kaji selidik dan latihan sendiri. Proses dengan pengarah pula melibat pocket training. Kami ada sesi di mana kami berlatih secara berasingan. Tetapi saya dan pelakon-pelakon yang lain ada juga bertukar pandangan tentang watak masing-masing. Oleh kerana ada lima orang pelakon, sorang-sorang kongsi pandangan, saya rasa ini proses yang bagus untuk membina perwatakan Ana dalam lakonan saya. Abang Wan iaitu pengarah kami banyak beri fokus secara terperinci terhadap lakonan. Jadi saya rasa bagus yang dia ada vision yang tetap.


RL: Apa perasaan dengan watak Ana sewaktu membaca skrip?

CJ: Bila mula-mula baca skrip tu, boleh rasa agak berat jugalah watak Ana ni. Watak Ana macam tiada henti sengsaranya, selalu rasa seksa saja. Mula-mula rasa agak risau sebab Ana jenis watak yang complex, dan agak berat juga keadaan emosinya oleh kerana dia melalui banyak momen yang menurun. Dengan babak yang dia langgar fitrah apabila dia menyukai rakan baiknya yang juga merupakan seorang perempuan. Perkara ini rasa berat untuk saya bawa tetapi saya cuba yang terbaik untuk membawa watak Ana.


RL: Adakah Cahaya guna apa-apa teknik atau method lakonan dalam membawa watak Ana?

CJ: Sebenarnya saya masih belajar lagi, saya selalu cuba mendalami watak Ana dalam hidup seharian saya. Bila saya bangun pagi ke, mandi ke, makan, tidur, saya cuba buat dan fikir seperti Ana. Jika saya sedang berlatih berlakon sambil dengar muzik, saya pasang lagu rancak, selepas tu saya melatihkan diri melontar dialog-dialog Ana yang sedih. Sebab nak mendalami watak bukan senang. Bila berlakon, kita kena mendalami emosi sedih itu walaupun ada gangguan. Dengan teknik yang saya cuba gunakan itu, saya melatih otak saya untuk tidak jadi senang terganggu dan membuat kesilapan. Apabila nak hafal skrip, memang kena sentiasa praktis membaca skrip supaya cepat ingat, macam ‘berzikir’ skrip dalam otak. Tapi yang penting saya kena psychokan diri dan mendalami watak Ana sebagai persediaan bawa watak tu.


RL: Boleh terangkan lagi bagaimana kerjasama antara Cahaya dengan pelakon-pelakon yang lain?

CJ: Waktu kami membuat bacaan skrip, kami para pelakon semua sedar sesuatu. Watak yang kami terima itu dekat dengan diri masing-masing. Macam saya sendiri boleh faham dengan watak Ana. Bagi Qristina, watak Natasha dekat dengan diri dia. Watak Syah juga memang dekat dengan real life dia. Jadi untuk naskhah ini, kami merasakan ia tidak berbeza sangat dengan watak kami yang sebenar sebab guru kami nak biasakan dengan mainan sebenar tetapi dalam bentuk cerita inilah. Jangan jadi sangat tapi dia beri kelonggaran di situ. Sepanjang proses juga, saya rasa seronok bekerja dengan pelakon-pelakon yang lain. Masing-masing memang bagus dan rajin berusaha dalam menjayakan watak masing-masing. Oleh kerana kami sentiasa berbincang sama-sama dan membantu menjelaskan peranan watak masing-masing, kami boleh sync atau conected dan semuanya memahami tuntutan mengenai cerita watak masing-masing, bukan watak sendiri sahaja.


RL: Apa scene kegemaran Cahaya sepanjang berlakon watak Ana?

CJ: Scene kegemaran saya sepanjang saya membawa watak Ana adalah bila Ana tukar baju atas pentas. Dalam babak ini, Ana membuka baju pengantinnya dan memakai baju blaus yang casual di dalamnya, serta seluar slack hitam yang selesa. Pertukaran outfit dalam pementasan ini ibarat Ana mendapat kebebasan waktu dia belajar di menara gading, seperti bebas daripada kepompongnya. Apabila Ana memakai semula baju pengantin itu, ia ibarat Ana dah mati. Kalau rama-rama, mereka tidak hidup lama, kan? Begitulah metaforanya. Saya rasa scene ini yang paling saya gemar oleh kerana saya betul-betul rasa apa yang watak Ana rasa juga. Siapa dapat faham tu, memang fahamlah betapa sedihnya kisah Ana ni.


RL: Malam ini merupakan persembahan yang terakhir untuk Pelamin Anganku Mus..tahil, ada tak apa-apa kata akhir untuk watak Ana?

CJ: Untuk Ana, it’s okay. I know apa awak lalui selama ni susah untuk awak, and tak semua orang boleh rasa penderitaan yang kau rasa. Namun begitu, kalau awak ikut orang, awak akan mati. Jadi, awak ikut saja apa awak nak buat dalam hidup sendiri. It will be alright.


RL: Terima kasih, jumpa lagi!


Sokong teater tempatan!

Sekian, terima kasih.


Ditulis Oleh Natasha Elena

Disember 08, 2021.


100 views0 comments