MANA AIMAN: Sebuah Eksperimentasi Alam Dalam Mencabar Konvensional Teater.

Updated: Nov 20, 2021

Mengikut penyataan produksi, Mana Aiman adalah sebuah ‘enviromental piece’ atau dalam kata lain naskhah yang berlatarkan alam atau kita panggil ianya site-specific, yang ceritanya berdasarkan kisah benar misteri peperangan akal dengan semesta yang dibikin serta diarahkan bersama oleh Cech Adrea dan Nawfal Zamri. Sebelum ini, mereka juga turut pernah mengarahkan ‘Zombi Serang Bas’ dan ’70 Pengikut Syaitan’. Pementasan ini bersifat interaktif kerana melibatkan komunikasi dua hala dengan menyingkirkan jarak serta ruang di antara para pelakon bersama penonton yang hadir.


Uniknya tentang persembahan ini adalah ianya dijalankan di kawasan yang terbuka, dan tiada pentas yang penonton selalunya bayangkan untuk sebuah pementasan teater. Bukan itu sahaja, Mana Aiman juga bercerita tentang pengalaman kisah benar enam sekawan yang mendaki gunung, kemudiannya sesat lalu mengharungi pelbagai cabaran untuk keluar dari kawasan pergunungan tersebut.


Mungkin kebetulan, atau disengajakan tetapi sebaik sahaja tiba di premis WK Bungalow, lokasi di mana pementasan berlangsung, keadaan kawasan itu kelihatan gelap. Satu-satunya sumber cahaya yang ada adalah dari gerai kecil di sebelah rumah banglo tersebut, gerai tempat memesan minuman. Sebelum persembahan bermula secara rasmi, penonton diberikan dua helai reben berwarna biru lalu diminta untuk menutup mata. Kemudian, sehelai lagi reben diikat pada tangan. Reben yang diikat pada tangan akan dipegang oleh penonton yang di belakang kita dan kita pula akan memegang reben orang yang di hadapan kita.


Mana Aiman bijak dalam mencipta unsur saspens, misteri, dan membuatkan penonton rasa takut semasa persembahan dijalankan. Jikalau objektif pementasan ini sifatnya interaktif, maka ianya tercapai kerana pengalaman penonton yang diminta untuk berjalan sambil memegang tali yang disediakan dalam keadaan mata tertutup oleh reben itu, telah mewujudkan ilusi bahawa penonton turut bersama-sama mendaki gunung dengan enam sekawan itu.


Kerjasama para pelakon dalam menjayakan Mana Aiman ini nampak jelas kelihatan apabila keseluruhan persembahan tersebut mereka menggunakan pendekatan ‘devised’. Ini dapat dilihat pada lontaran dialog mereka adalah spontan dan diimprovisasi semasa dalam persembahan secara langsung. Ini membuatkan penonton kekal tertanya-tanya, dari mana dan apa yang disengajakan, atau bahagian mana yang sebenarnya spontan. Seperti pada permulaan bahagian, semasa persembahan belum bermula secara ‘rasmi’ tetapi para pelakon telah berada bersama penonton di gerai kecil berhampiran banglo dan berbual tentang salah seorang daripada mereka mengenakan kasut yang kurang sesuai untuk mendaki. Daripada pengamatan situasi itu sahaja ceritanya sudahpun bermula.


Selain itu, lakonan yang kemas daripada barisan pelakon sangat membantu untuk tidak menampakkan pertuturan dialog mereka itu seakan diimprovisasi atau ditambah-tambah. Mungkin juga kerana kesan daripada kisah benar yang dilalui oleh para pelakon itu sendiri menjadikan faktor yang menyebabkan lakonan mereka sampai di hati penonton, lebih-lebih lagi refleksi emosi yang ditunjukkan ketika mereka bergaduh kerana meninggalkan salah seorang kawan di dalam hutan seorang diri.


Penggunaan kawasan yang kreatif menjadi tarikan utama untuk persembahan Mana Aiman ini, terutama sekali apabila ketiadaan ‘pentas’ tempat di mana para pelakon beraksi dan persembahan telah dijalankan di kawasan terbuka yang sudah dibikin menjadi ala-ala kawasan perkhemahan di dalam hutan. Persembahan ini tidak terikat dengan cara konvensional sebuah pementasan teater yang kebiasaannya menggunakan set pentas dalam ruang tertutup. Dari segi pencahayaan pula, para pelakon hanyalah menggunakan lampu headlight di kepala setiap pelakon yang akan menyuluh kepada pelakon lain ketika mereka sedang berdialog bagi mengelakkan kekeliruan fokus pandangan penonton.


Namun begitu, merujuk kembali kepada judul Mana Aiman, kisah di mana mereka sebenar-benarnya mencari Aiman agak tenggelam berbanding perkembangan subplot lain yang disampaikan oleh mereka. Sinonim dengan tajuk, fokus utama tidak diberikan perhatian kepada perjalanan untuk mencari sahabat mereka, Aiman di dalam hutan itu. Tapi, jika fokus persembahan Mana Aiman lebih tertumpu kepada cabaran dan rintangan mereka dalam mendaki gunung, maka mereka sudah mencapainya. Kerana daripada pengamatan penonton, Mana Aiman lebih fokus pada waktu di mana mereka sesat dan tidak menjumpai jalan keluar, tiada air, makanan, misteri kejadian dan hubungan persahabatan mereka yang tercabar sahaja.


Keseluruhannya, persembahan Mana Aiman ini jelas memberikan sebuah pengalaman menonton yang berbeza dari yang lain kerana menyuntik pelbagai perkara baharu di dalam pementasan. Mengeksplorasi dan bereksperimentasi dengan perkara yang jarang dilakukan mungkin dapat memberikan kelainan mahupun kelebihan tersendiri dan memberi impak positif kepada industri teater tempatan, khususnya selepas pasca pandemik covid-19 dengan norma baharu ini. Tahniah diucapkan kepada seluruh tenaga produksi.


Yalah, bila lagi anda dapat mampu mengalami mendaki sambil ditutup mata di malam hari kan?


Ditulis Oleh

Fateen Zulaikha

8 November 2021

122 views0 comments