MAN LAKSA - Sebuah Kritikan Buat Industri Hiburan Tanah Air.

Masih ingatkah anda dengan filem Man Laksa ini? Saya pasti ramai rakyat Malaysia yang masih ingat dan merindui filem arahan Mamat Khalid ini yang ditayang pada tahun 2006. Berlatarkan pada tahun 70-an, filem Man Laksa mengisahkan tentang seorang lelaki pemalu bernama Man yang mencari rezeki dengan menjual laksa di kampungnya iaitu Kampung Talang. Pada satu hari, Fadhil Mat Dom, anak kepada Ketua Kampung merangkap Ketua Belia Daerah telah bercadang untuk mengadakan malam amal bagi tujuan mengumpul derma kepada keluarga Pak Maon yang kehilangan harta benda akibat rumahnya yang terbakar semasa musim banjir besar lalu. Man mengambil kesempatan ini untuk membuka gerai dan menjual sebanyak mungkin laksa pada malam amal itu nanti. Malah, pada malam itu juga dia mahu melamar buah hatinya, Chah. Namun, Man sedar ianya tidak semudah yang disangkakan. Sebelum malam amal itu bermula, Fadhil pengsan akibat terlalu terkejut kerana tiada seorang pun daripada penyanyi jemputan di belakang pentas dan Lan Cicak pula tersangkut di kampung seberang bersama penari-penari jemputan. Disebabkan perkara ini berlaku, Ketua Kampung mahu seseorang untuk menggantikan Fadhil dan menyempurnakan tugas tersebut dengan baik dan orang itu juga akan dijadikan menantunya. Mendengar tawaran itu, Man terus menawarkan dirinya untuk mengambil alih tugas Fadhil. Maka bermula perjalanan Man Laksa dalam menyempurnakan Malam Amal Kampung Talang.


Seperti yang kita tahu, filem-filem arahan Mamat Khalid sememangnya penuh dengan kritikan tentang masyarakat kita dan begitulah juga dengan filem Man Laksa.Namun, filem ini bukan sahaja penuh dengan kritikan masyarakat sahaja tetapi ia juga sebuah cerita yang menyindir industri hiburan di negara kita. Antaranya adalah isu mengenai sikap segelintir orang yang cuba mengambil hak orang lain dengan meminta bantuan daripada orang atasan atau pihak berkuasa walaupun sebenarnya dia tidak berada dalam kesusahan. Ini dapat dilihat apabila kita tahu yang Malam Amal itu dianjurkan untuk membuat kutipan derma bagi rumah Pak Maon yang terbakar semasa musim banjir besar. Tidakkah itu sesuatu yang pelik? Bagaimana rumah boleh terbakar semasa musim banjir? Sama juga dengan keadaan pandemik sekarang, ramai yang berada dalam kesusahan dan memerlukan bantuan tetapi sesetengah artis cuba untuk dapatkan bantuan yang sama dengan rakyat yang lebih memerlukan kononnya kehidupan mereka terjejas teruk. Walhal, ada lagi rakyat yang terjejas teruk semasa pandemik ini dan lebih memerlukan bantuan. Malah, masih ada artis veteran diluar sana yang perlukan bantuan untuk menjalani kehidupan seharian namun ramai yang buat tidak endah.


Seterusnya, filem ini juga ada mengkritik mengenai bagaimana sesetengah pihak dalam industri tidak mahu memberi peluang langsung kepada orang-orang baharu untuk berkarya dan cuba membawa evolusi baru dalam dunia industri.Perkara ini dapat dilihat melalui watak tiga orang pemuda iaitu Nasir, Rosli dan Ramli (mewakili M. Nasir dan Loloq sewaktu muda), mereka adalah refleklsi kepada generasi baharu yang membawa perubahan baru tetapi tidak diterima segelintir masyarakat kerana menganggap mereka menentang arus namun semasa mereka membuat persembahan, semua orang terhibur dengan lagu ciptaan mereka. Sebenarnya, tidak semua perkara perlu ditentang dan ada kalanya kita harus memberi peluang kepada generasi baru untuk mencuba dan memberi nafas baharu dalam industri. Seperti lirik lagu Saloma dalam filem ini, ianya menggambarkan peredaran cita rasa industri muzik tempatan dan peredaran ini bukanlah bermaksud kita perlu melupai yang lama.


Selain itu,terdapat juga sindiran mengenai sikap orang-orang kita yang tidak menyokong industri hiburan tanah air.Contoh semasa Pak Lurah asyik mengutuk-ngutuk persembahan malam itu dengan mengatakan ada lebih baik jika dia balik rumah dan menonton filem Combat di televisyen daripada melihat persembahan lakonan mereka di pentas.Malah,orang-orang kampung juga tidak mahu melihat persembahan penari tradisional tetapi mahukan persembahan daripada artis-artis yang popular.Ini menunjukkan ada segelintir masyarakat yang tidak mahu menyokong industri hiburan tempatan dan mereka tidak sukakan persembahan tradisional.


Sindiran mengenai masalah rasis dalam segelintir diri orang industri mahupun masyarakat juga ada diselitkan dalam filem ini.Perkara ini dapat dilihat semasa adegan di estet, Loga tiba di sebuah kuil untuk berjumpa dengan rakannya, Aru bagi bertanyakan lagu yang sesuai untuk mereka nyanyi pada malam itu. Aru memberi cadangan untuk nyanyi lagu daripada kumpulan Alleycats tetapi tidak diterima Loga. Loga tidak bersetuju dengan cadangan Aru untuk menyanyikan lagu Melayu dan berkeras mahu mereka menyanyikan lagu Tamil. Isu ini sebenarnya mengutuk beberapa orang dalam negara kita yang tidak mahu bekerjasama dalam mengembangkan dunia industri hiburan hanya kerana berlainan bangsa. Walauapapun, babak ini juga menunjukkan yang tidak semua orang bersikap rasis contohnya watak Aru yang menyanyikan lagu Melayu malah mengajak Ketua Kampung menari bersama semasa mereka membuat persembahan malah bersalaman dengan Tok Ketua. Saya pasti, jika kita tolak berkenaan dengan isu bangsa, pasti industri hiburan akan lebih maju dan mengangkat Malaysia sebagai negara yang pelbagai. Sikap kronisma turut ditunjukkan dalam filem ini semasa pertandingan ratu cantik. Jelas sekali semasa babak pertandingan ini, salah seorang pemenang adalah saudara kepada pengacara majlis manakala pemenang utamanya merupakan kekasih Tuan DO (Pegawai Daerah). Malah, pengerusi temasya juga merupakan dua pupu dengan Tuan DO. Perkara ini sememangnnya menunjukkan kronisme itu ada sahaja dimana-dimana walaupun di peringkat kampung.


Akhir sekali, dapatan saya daripada filem ini adalah, hanya untuk satu malam dan satu lokasi sahaja, kita dapat lihat pelbagai kerenah serta sikap masyarakat dan gambaran dalam industri hiburan di negara kita. Namun tidak semua kritikan adalah buruk dan ada sahaja kritikan yang baik dalam filem ini. Bagi saya, filem genre komedi ini banyak memberi pengajaran dan moral disamping menghiburkan kita dengan telatah watak-watak orang kampung seada yang kita ketahui jauh diluar pinggir bandar sana.


Ditulis Oleh:

Hani Dalilah Jamaludin



Rujukan : https://ms.wikipedia.org/wiki/Man_Laksa

-Filem Man Laksa 2006


52 views0 comments